Friday, July 31, 2009

Berubahlah Demi Kebaikan

oleh Sakinah Saptu
Dipetik dari blog: umairah-sh

Pada petang itu, hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Saya berjalan keluar dari pejabat masjid menuju ke pintu pagar yang mengarah ke swimming pool. Kelihatan di jalan menuju ke swimming pool itu, seorang perempuan sedang duduk bersila di atas sekeping kotak bersama dua orang anak perempuannya. Manakala kedua-dua anaknya sedang berbaring di paha kanan dan kirinya. Ketiga-tiga mereka bertudung dan tudung itu juga menutup sebahagian muka mereka yang hanya menampakkan mata mereka sahaja.(Saya faham mengapa mereka berpakaian sedemikian. Mereka tidak mahu identiti mereka dikenali)

Apabila wanita itu melihat saya dari jauh dia sudah menganggukkan kepalanya kepada saya. Dan saya dengan senyum ramah terus mengucapkan salam kepadanya. Salam saya dijawab mesra. Lalu saya pun bertanya:

"Cik...cik buat apa kat sini, Cik?"

"Biasalah, dik. Cik minta sedekah" Dua orang anaknya lalu bangun dari perbaringan dan duduk bersila di kanan dan kiri emak mereka.

Saya menghadiahkan senyuman saya kepada kedua orang anaknya yang comel. Dan saya menjalankan 'tugas' saya bertanya itu dan ini tentang hidupnya. Setiap jawapan yang diberikan oleh makcik itu, saya memberi respon dengan anggukan prihatin.

"Makcik orang susah,dik. Suami makcik gaji kecil.Gaji dia bikin bayar rumah. Cik tak tahu nak minta tolong siapa. Ni jelah makcik boleh buat. Minta sedekah. Kalau pinjam orang kena bayar balik. Nanti nak bayar dengan apa pulak,kan?"

"Dah lama, Cik duk sini. Anak-anak makcik semua minta sedekah. Selalunya hari Jumaat lah. Ramai orang kutuk-kutuk, Cik. Diorang kata cik didik anak cik salah. Tapi terus-terang lah dik, Cik cakap. Mana ada ibu nak ajar anak-anak minta sedekah. Tidak ada cara lain, ni lah cara anak-anak Cik dapat makan dan hantar pergi klinik. Anak-anak Cik semua ada penyakit. Kalau tak de duit macam mana nak pergi doktor,kan?"

Dia terus bercerita dan saya duduk dihadapannya sebagai pendengar setia.

"Cik, tak minta bantuan di mana-mana?" tanya saya.

"Ada cik minta. tapi mereka dah stop kan. Sebab diorang nak hantar Cik pergi course. Cik tak nak. Manalah cik boleh pergi course,dik. Anak-anak Cik ni macam mana,kan?"

Macam-macam lagi yang diceritakan oleh makcik itu kepada saya. Dia menceritakan kepada saya tentang peminta-peminta sedekah yang lain, reaksi masyarakat sekeliling kepadanya dan anak-anaknya,perasaannya dan begitu juga dengan kehidupannya sehari-hari. Saya mendengar dan cuba memahaminya. Dan di akhir pertemuan itu, saya ada berkata begini kepadanya:

"Cik, kalau Cik nak bantuan,Insya Allah saya boleh cuba usahakan untuk makcik", ucap saya bersungguh-sungguh.

"Eh, dik. Tak payah...tak payah!" Dia terus menolak dengan cepat. "Nanti adik kena marah. Tak pelah, dik. Cik dah boleh duduk kat masjid ni minta sedekah pun dah bagus. Pegawai masjid kat sini semua baik-baik, diorang tak pernah halau, Cik"

Saya senyum. Dan saya 'mengerti' mengapa dia menolak. Bukan kerana dia malu tetapi 'sengaja' dia tidak mahu. Bukan juga kerana dia tidak mahu menyusahkan tetapi 'sengaja' dia tidak mahu adanya perubahan. Saya sudah mengerti. Ini kerana saya telah banyak belajar. Belajar daripada orang-orang seperti ini walau pada waktu itu saya baru sahaja seminggu bekerja sebagai pegawai dakwah dan kebajikan.



Hingga ke hari ini saya masih ingat pertemuan saya dengan makcik dan dua orang anak perempuannya yang masih kecil itu. Dua anak yang masih belum mengerti jerih dan perih sebuah kehidupan. Lalu perlukah saya menyokong makcik ini dalam usahanya mencari sesuap rezeki dengan menadah tangan kepada orang lain? Sedangkan saya tahu bahawa dalam sebuah hadith yang telah disahihkan oleh al-Albani ada menyatakan yang mana maksudnya : "Tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah"? Lalu adakah ianya menjadi satu kesalahan juga jika ada orang lain mencerca beliau kerana mendidik anak-anak dengan meminta sedekah?

Sekali pun saya tidak mahu menyokong cara makcik peminta sedekah itu. Dengan rasa ihsan dan belas, tentu sahaja ramai orang termasuk saya ingin membantu, tetapi kita hanya mampu membantu untuk memperbaiki kehidupan makcik itu bukan dengan memberikan wang sepanjang hayatnya. Segalanya terpulang pada dirinya sendiri.

Sebab itu saya pernah mengatakan pada penulisan saya yang bertajuk: Segalanya bermula pada diri KITA, hanya kita sahaja yang mampu untuk mengubah diri kita dan hidup kita. Bukan orang lain. Insan lain hanya mampu memainkan peranan mereka untuk membantu agar kita menjadi manusia yang lebih baik. Selebihnya adalah terpulang pada diri kita. Sejauhmana kita diasak dan sekuat manapun kita digasak agar berubah tetapi jika kita tidak mahu, tidak ada gunanya. Semuanya bakal menjadi bagai air dicurah ke daun keladi.

Makcik itu boleh berubah jika dia ingin mempertingkatkan kemahiran dirinya, mencari pekerjaan sepenuh masa dan mencuba usaha lain daripada meminta sedekah. Masjid ingin membantu dan banyak juga badan-badan kebajikan lain boleh membantu tetapi dengan syarat dia mahu mengubah cara hidupnya dan mempertingkatkan kemahiran dirinya. Bantuan yang diberi adalah untuk membantu dia berubah ke arah kebaikan bukan untuk dirinya bersenang-lenang dengan hanya menerima tetapi tidak mahu berusaha untuk memberi pula.

Dengan itu, saya ingin mengajak anda merenung, mengaplikasikan kisah dan mengambil moral daripada apa yang saya nyatakan di atas.

"Bersyukurlah kerana hidup kita tidak hingga ke tahap menjadi peminta sedekah. Jika kita susah ada lagi orang lain yang lebih susah. Dan apa yang kita ada bukan milik kita ianya hanya pinjaman cuma yang perlu untuk kita kongsi dengan orang lain.

Jangan sekali kita menghina orang di bawah kita (mereka yang lemah, mereka yang kurang bijak, mereka yang sentiasa memerlukan bantuan kita)tetapi kita perlu membantu mereka untuk memperbaiki diri. Berilah bantuan dengan penuh ihsan dan kasih sayang bukan bantuan yang mengharapkan balasan dan penghormatan. Sentiasalah menjadi insan yang prihatin terhadap yang lain bukan menjadi insan yang hanya memikirkan diri sendiri.

Dan jika kita sedar bahawa kita perlukan bantuan dan apabila kita diberi bantuan, jangan pula kita menjadi manusia yang tidak sedar diuntung. Jadikanlah bantuan itu sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki hidup kita. Sebenarnya apabila kita dibantu, kita telah diberi peluang oleh orang lain agar kita belajar, iaitu belajar untuk menjadi manusia yang lebih cemerlang di kemudian hari.

Tetapi segalanya terpulang pada diri kita, sejauhmana kita ingin mengambil semua itu sebagai peluang untuk kita merubah hidup yang sememangnya saya akur ianya bukan mudah"

(Tinta kasih @ Hougang, Singapura 11.12.08)

No comments:

Post a Comment