Friday, July 16, 2010



PERUTUSAN YDP
MUHAMMAD FAIZ FATHI BIN ASMORI


Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh,
Alhamdulillah, ucapan syukur dan setinggi-tinggi pujian terhadap Allah SWT kerana mempertemukan kita semua kembali ke bumi UKM untuk kita sama-sama meneruskan usaha dalam jihad menuntut ilmu. Bersyukur jua kerana masih diizinkan oleh Allah untuk kita merasai nikmat nur iman dan Islam. Selawat dan salam keatas junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW dan keatas keluarga baginda dan sahabat-sahabat baginda r.anhum.
Dikesempatan ini, saya selaku YDP JANNAH 2009/2010 mewakili barisan exco-exco JANNAH yang lain mengucapkan SELAMAT DATANG kepada mahasiswa/i Tahun 1 di bumi UKM khususnya mahasiswa/i Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam. Tidak dilupakan ucapan SELAMAT KEMBALI kepada mahasiswa/i daripada Tahun 2 dan 3. Mudah-mudahan semester baru ini dimulakan dengan niat dan azam baru untuk mencari ilmu semata-mata mengharapkan keredhaan Allah agar kita terlepas daripada ancaman yang telah disebutkan oleh Baginda SAW iaitu :
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لاَ يَتَعَلَّمُهُ إِلاَّ لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنْ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا
Maksudnya : “Barangsiapa yang mempelajari ilmu pengetahuan yang seharusnya ditujukan untuk mencari redha Allah ‘azza wajalla kemudian dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan kedudukan / kekayaan dunia maka dia tidak akan dapat mengenal Syurga pada hari kiamat yakni baunya.”
(Sunan Abu Daud, Kitab Ilmu, 12(Bab dalam menuntut ilmu bukan kerana Allah), 3664, Hlm.1585,Sahih)
Seterusnya, kami barisan kepimpinan JANNAH sentiasa berusaha dengan sedaya upaya untuk menyajikan pelbagai program dan aktiviti ilmiah bagi memantapkan lagi jati diri dan pembangunan mahasiswa/i. Justeru, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian agar dapat memberikan komitmen dan kerjasama serta sokongan padu terhadap semua aktiviti-aktiviti yang dirancang. Selain itu, marilah kita bersama-sama memupuk dan memantapkan ikatan persaudaraan dan ukhuwah sesama kita tanpa mengira perbezaan umur, tempat, tahun pengajian, pendapat dan lain-lain.
Akhir kalam, marilah kita sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan sebenar-benar iman dan taqwa. Firman Allah : “Sesungguhnya orang yang takutkan Allah hanyalah daripada kalangan orang-orang yang berilmu.” (Surah Faatir:28) Semoga usaha murni yang dilakukan ini akan memberi manfaat kepada kita semua dan mampu untuk menggamit redha Allah.
Sekian, Wasalam.

“Al-Quran Didahulukan, Al-Sunnah Diutamakan, 1 Akidah”