Sunday, April 25, 2010

PERBANDINGAN MODAL INSAN ZAMAN NABI DENGAN ZAMAN KINI

Manusia dilihat sebagai individu yang dinamakan modal insan dan merupakan aset tenaga yang sungguh bermakna. Pembangunan modal insan ini adalah sangat penting dalam ajaran Islam dan juga dalam pembangunan negara.Modal insan telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi.Baginda telah membangunkan modal insan yang sangat mengkagumkan sehingga negara Islam dapat di bentuk .Dengan modal insan inilah Islam telah tersebar di seluruh pelusuk dunia dan menjadi satu kuasa yang di geruni satu ketika dahulu.Namun, kini kehebatan modal insan semakin pudar dan menurun.

Antara perbandingan asas pembangunan modal insan zaman Rasulullah s.a.w dengan zaman moden ,dapat dilihat dari empat aspek yang utama iaitu menjadikan ad- Din sebagai asas kehidupan,pembangunan pendidikan,pembangunan sahsiah dan persaudaraan ummah.


Ad-Din sebagai asas kehidupan

Ad-Din yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w merupakan ad-Din yang benar dan sempurna mencakupi seluruh kehidupan manusia kerana hanya agama Islam yang diredhai oleh Allah sebagaimana dalam firmanNya surah Al-Imran 3: ayat 19

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْلإِسلمُ

Maksudnya: sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai ) di sisi Allah ialah Islam….
Dengan menjadikan Islam sebagai asas dalam kehidupan ketika itu ,ia mampu melahirkan sumber manusia yang mantap Islam dan imannya sehingga individu ketika itu sanggup berkorban jiwa dan hartanya demi Islam.Inilah kualiti modal insan yang wujud semasa zaman Rasulullah s.a.w.Banyak kisah –kisah pengorbanan mereka yang tercatat dalam sejarah dan boleh diambil pengajaran.sebagai contoh pengorbanan Sumayyah sekeluarga dan Bilal Bin Rabbah .Mereka sanggup dan rela di seksa dengan seksaan yang cukup berat demi mempertahankan keimanan.Mereka lebih sayang dan cinta kepada agama berbanding nyawa mereka .

Sumayyah sekeluarga di seksa dengan kaki dan tangannya diikat lalu dilemparkan di atas kerikil tajam dam panas.Di atas itulah mereka di seksa satu persatu .Selain itu,pernah juga suami Sumayyah di bakar dengan besi panas,di salib di atas pasir panas dengan di tindih batu namun,hasil tarbiyyah Rasulullah s.a.w ,semua di tempuh dengan kesabaran.Sumayyah pula adalah seorang hamba dan wanita pertama yang syahid semata-mata mempertahankan keimanannya.Walaupun mereka baru memeluk agama Islam.

Perkara yang sama turut berlaku kepada Bilal Bin Rabah.Beliau hanya seorang hamba namun,Allah amat memuliakannya.Semua ini disebabkan kesabaran dalam mempertahankan agama .Beliau juga turut di seksa oleh tuannya kemudian,diberikan pula kepada pemuda-pemuda kafir dan diarak di sekeliling kota dengan berbagai seksaan sepanjang jalan.Namun keimanannya tidak pernah luntur.Hal ini membuktikan kepimpinan dan keperibadian Rasulullah s.a.w yang tinggi kerana berjaya melahirkan keperibadian modal insan yang sangat jujur dan ikhlas dalam semua aspek.

Keunggulan Khulafah Rasyidin hasil didikan secara langsung Baginda,telah berjaya merubah dunia yang ketika itu di cemari dan di selubungi dengan kejahilan kepada satu bentuk kehidupan yang penuh dengan cahaya dan kebahagian.Walaupun Rasulullah telah wafat namun,mereka tetap teguh meneruskan syariat Islam dalam kehidupan.Begitu hebatnya modal insan ketika itu dan itulah nilai Islam di dalam hati mereka yang mampu mempengaruhi seluruh kehidupan .

Manakala jika di bandingkan dengan zaman moden ini,masyarakat sedar bahawa Islam agama yang benar dan menyeluruh namun hanya segelintir masyarakat sahaja yang menjadikan Islam cara hidup yang jitu.Kebanyakkan mereka mengamalkan Islam separuh dalam kehidupan mereka .Ada segelintir mereka yang mengikut cara barat seperti dari segi pakaian,makanan dan pergaulan.Semangat jihad di kalangan masyarakat semakin menurun terutama jihad melawan hawa nafsu kerana lalai dengan hiburan –hiburan yang tidak mengikut landasan syarak .Contoh terdekat adalah suruhan Allah keatas perempuan supaya menutup aurat sebagaimana dalam firman Allah dalam surah An-Nur ayat 31:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya: Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya….

Walaupun suruhan ini telah jelas di dalam al-Quran namun,ramai umat Islam pada hari ini yang tidak mengamalkan suruhan ini bahkan mengikut gaya orang kafir.Jihad untuk melawan nafsu mereka sangat lemah dan mereka beranggapan suruhan supaya menutup aurat tidak sesuai dengan zaman moden ini.

pembangunan pendidikan

Pendidikan sangat penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti.Sebagai bukti ,wahyu pertama yang turun adalah surah al-‘Alaq ayat 1-5 .

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَق(2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَم(3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (5
maksudnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan,Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia,Yang mengajar (manusia) dengan pena,Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Berdasarkan ayat ini,perintah pertama Allah kepada Baginda adalah “Bacalah” .Ini membuktikan betapa penting dan perlunya pendidikan.Surah ini juga pendorong pembakar semangat umat Islam abad ke-7 hingga ke-12 dalam mencari ilmu.Pendidikan yang diterapkan oleh Baginda adalah pendidikan tauhid yang benar ,kerana tauhid ialah anak kunci kepada gedung ilmu.Sifat Islam sebagai ilmu juga jelas kelihatan pada dasar dan sistem kepercayaan rukun iman dan Islam.Islam menolak keimanan yang berasaskan ikutan semata-mata tanpa ilmu dan kefahaman yang menyokong keimanan tersebut.Terdapat banyak hadith Rasulullah s.a.w mengenai ilmu .Contohnya:Hadith yang menyebut mengenai nilai ilmu :
عن اابن عمر رضى الله عنه : سمعت رسول اللن (ص): بينا انا نائم , اتيت بقدح لبن, فشريبت حتى انى لأرى الري يخرج فى اظفارى , ثم اعطيت فضلى عمر بن الخطاب قالو: فما اولته يا رسول الله ؟ قال , العلم

Maksudnya: Dari Ibn Umar r.a : Rasulullah s.a.w mendengar: Di dalam tidurku ,aku melihat mangkuk penuh susu diberikan kepadaku dan aku meminumnya hingga basah sebahagian jejariki ,Kemudian, aku memberikan kepada Umar Bin Khattab,Para sahabat bertanya ,Apa tafsir anda ya Rasulullah .Baginda menjawab itu ilmu.

Baginda mendidik masyarakat ketika itu ,dengan masyarakat yang pentingkan dan cintakan ilmu pengetahuan,sehingga melahirkan beberapa tokoh ilmuan Islam selepas kewafatan Baginda.Kesepaduan ilmu dan tauhid inilah yang melonjakkan tamadun Islam dan dapat memberi sumbangan kepada manusia seluruhnya sehingga hari ini.Rasulullah s.a.w juga menerapkan dalam diri masyarakat ketika itu agar menjadikan Islam sebagai cara hidup yang jitu kerana hanya agama Islam yang mencakupi seluruh kehidupan manusia.Disebabkan perkara inilah ,kehebatan Islam bukan sahaja dalam bidang agama bahkan setiap bidang yang melibatkan urusan sains kemanusiaan.

Contohnya ,Andalusia atau Sepanyol mampu bangkit menjadi satu negara yang masyhur dengan Tamadun Islam satu ketika dahulu. Walaupun ,pada asalnya kebanyakkan penduduk di situ buta huruf.Namun,setelah Islam menakluk dan memerintah,pemimpinnya sangat menekankan aspek keilmuan dan keintelektualan .Kesannya dalam masa yang singkat lahir ulama dan pakar –pakar dalam bidang fiqh,hadith,sastera,sains,matematik dan kejuruteraan seperti al-khusaini,Abu Ayyub ,Al-Barr dan ramai lagi.Sumbangan mereka sangat besar kerana ilmu yang ada pada hari ini bermula dengan mereka.Tujuan mereka mempelajari ilmu adalah semata-mata kerana
Allah dan umat yang akan datang dan bukan untuk kepentingan peribadi.

Kepentingan ilmu pada hari ini juga sangat di tekankan.Boleh dikatakan masyarakat kini bijak sama ada dalam ilmu dunia atau ilmu akhirat.Namun,tujuan mereka mempelajari ilmu bukan kerana Allah semata-mata.Disebabkan perkara inilah ramai di kalangan mereka yang berilmu turut terjebak dengan kes-kes jenayah dan masalah-masalah sosial yang lain.Dan amat sukar untuk melahirkan ulamak – ulamak yang hebat seperti dahulu.Tujuan utama mencari ilmu adalah untuk kehidupan dunia semata-mata.Sepatutnya, dengan ilmu mampu melahirkan manusia yang berkualiti dan membezakan manusia dengan haiwan namun,jika dilihat fenomena hari ini ilmu sebagai jalan utama untuk mendapatkan pekerjaan .Oleh sebab itu ,walaupun negara berada di era kemajuan tetapi akhlak masyarakat mengalami kemunduran bahkan lebih teruk dari binatang.Terdapat juga segelintir golongan pelampau agama contohnya seperti ajaran Qadiani yang telah difatwakan sesat oleh Jawatan kuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia. Ajaran ini di asaskan oleh Mirza Ghulam yang mendakwa dirinya sebagai mujaddid,Imam Mahdi,Nabi Isa dan nabi yang menerima wahyu. Hal ini boleh berlaku apabila terlalu taksub dengan sesuatu perkara sehingga merasakan diri yang paling hebat.

Pembangunan sahsiah

Pembangunan sahsiah adalah pengukur tahap kualiti modal insan.Rasululllah s.a.w sendiri dalam membangunkan modal insan sangat menekankan pembangunan sahsiah iaitu dari sudut akidah,syariat dan akhlak.Dari sudut akidahnya,beriman kepada rukun Islam dan rukun Iman merupakan perkara utama yang perlu diterapkan dalam jiwa individu.Ia adalah nadi yang akan membentuk kualiti modal insan.Namun,masyarakat ketika itu berjaya memupuk tahap keimanan yang kukuh dan mempunyai akidah yang kuat.Sejarah perang Badar membuktikan kekuatan akidah modal insan ketika itu.Kedudukan Rasulullah s.a.w dan umat Islam ketika itu sangat sukar kerana mereka baru berjumlah 313 sampai 317orang dan harus menghadapi kekuatan musuh yang berjumlah 1000 orang.Walaupun baru memeluk Islam,mereka mempunyai semangat juang yang tinggi dan sanggup menggadaikan nyawa. “ Demi Allah,seandainya anda(Rasulullah s.a.w ) menghadapi lautan dan anda( Rasulullah s.a.w) terjun ke dalamnya,kami pasti akan terjun bersama….”. Begitulah ketaatan mereka terhadap Allah dan Rasul.

Dari sudut syariah juga diberi penekanan kerana syariah adalah undang-undang dari Allah yang lengkap untuk seluruh kehidupan manusia.Syariah Islam sangat releven untuk dijadikan panduan hidup semua manusia dan sesuai sepanjang masa serta diamalkan di mana-mana tempat.Hal ini di akui oleh pakar undang-undang barat iaitu Dr.Isacco Ensepato secara objektifnya menegaskan bahawa syariat Islam dalam banyak hal melebihi perundangan negara –negara Eropah.Ia juga merupakan perundangan yang paling lengkap di dunia.
Dari sudut akhlak pula,Rasulullah s.a.w mendidik masyarakatnya dengan akhlak yang baikRasulullah s.a.w mengajar supaya masyarakat memiliki akhlak yang mulia iaitu akhlak manusia dengan Allah,manusia dengan manusia dan manusia dengan alam.Hatta di dalam peperangan sekalipun, mereka di larang memusnahkan tanaman,membunuh orang tua, wanita, kanak-kanak, dan tidak menyeksa tawanan perang.Sebagaimana yang dilakukan oleh Salehudin Al-Ayubi,ketika beliau membuka Damsyik dan Baitul Muqaddis,dia tidak membunuh tawanan perang.Bahkan mereka di benarkan keluar dengan selamat.Di Damsyik ,dia tidak menghalau penganut-penganut Kristian,sebaliknya membangunkan kawasan gereja dengan masjid bersebelahan.Salehudin juga membina sebuah penempatan khas untuk penganut Kristian yang dinamakan Kota Bab Tuma.

Jika dibandingkan dengan zaman moden ini, pembangunan sahsiah banyak yang terpesong dari sahsiah yang sebenar. Kebanyakkan perkara dari barat lebih diagung-agungkan sama ada dari sudut akidah , syariah dan akhlak.Dari sudut akidahnya,tahap keimanan masyarakat kini sangat tipis.Mereka mudah terikut-ikut dengan sesuatu perkara yang baru tanpa di nilai adakah ia menepati kehendak syarak atau tidak.Sebagai contoh percaya kepada sesuatu yang mempunyai unsur syirik dan khurafat seperti bomoh.Selain itu,terdapat juga kes yang menolak sebahagian al-Quran dan mengambil sebahagian darinya.Hal ini telah berlaku di Indonesia,Dr.Musdah yang beragama Islam,Penasihat Kanan Menteri Hal Ehwal Agama,Ketua Bahagian Penyelidik Majlis Ulama Indonesia telah mengeluarkan hukum menghalalkan gay dan lesbian serta mendapat penghargaan dari barat Walaupun haram hukumnyaSebagaimana dalam firman Allah surah al-‘Araf ayat 80-81.
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ(80) إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ (81)

Maksudnya: Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu , yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?"(80) Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.(81)

Dari sudut syariah pula ,sebagaimana yang kita ketahui,bahawa syariah merupakan undang-undang dari Allah dan sepatutnya ia digunakan walau zaman berubah.Namun apabila menyebut mengenai undang-undang syariah pada masa kini,ramai yang menganggapnya sebagai undang-undang yang zalim dan lebih memilih untuk menggunakan undang-undang sivil yang diperkenalkan oleh barat .Undang-undang syariah di pinggirkan dengan merendahkan kedudukannya yang terbawah sekali di dalam hierarki sistem keadilan.Sebagaimana contoh pada hari ini berkenaan kes Kartika,seorang yang beragama Islam dan disabit hukuman sebat kerana minum arak.Beliau masih belum di jatuhkan hukuman sama ada perlu di sebat atau tidak.Hal ini di sebabkan ketidakyakinan orang Islam terhadap hukuman sebat syariah .Berkaitan dengan sebatan ini, terdapat pihak tertentu yang mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik bahawa peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihannya.

Akhlak masyarakat pada hari ini pula dilihat seperti keadaan masyarakat jahiliah sebelum Nabi Muhammad di lantik menjadi rasul.Maksiat berleluasa di mana –mana sahaja dan orang Islam tidak menunjukkan ciri-ciri akhlak seorang muslim yang sebenar.Kes zina seperti telah menjadi satu lumrah dalam kehidupan masyarakat khususnya para remaja.Disebabkan itulah kes kelahiran anak luar nikah dan kezaliman terhadap bayi yang tidak berdosa semakin meningkat. Jika pada zaman jahiliah mereka hanya membunuh bayi perempuan hidup-hidup namun ,zaman moden ini keadaan lebih parah kerana terdapat segelintir manusia yang sanggup membakar bayi,membuang di dalam pam tandas, dan menyeksa sehingga mati.Buktinya, pada tarikh 18 Mac 2010 ,masyarakat di kejutkan dengan berita seorang bayi yang baru di lahirkan mati di bakar ,dan di temui di kawasan sekolah.

Persaudaraan Ummah

Rasulullah s.a.w membangunkan sumber manusia dan menyatukan mereka di bawah satu bumbung agama Islam kerana manusia semua sama dan berasal dari keturunan Adam a.s.Oleh itu Baginda amat memberi penekanan penting tentang perpaduan ummah untuk pembangunan manusia.Rasulullah s.a.w menjadikan akidah Islamiyyah yang bersumberkan pada Allah sebagai asas persaudaraan yang menghimpunkan hati para sahabat dan masyarakatnya.Pembangunan ummah merupakan lambang kekuatan kepada sesebuah negara.Dengan persaudaraan inilah umat Islam akan sentiasa berkasih-sayang ,tolong-menolong dan bersatu-padu dalam membangunkan negara dan agama.Persaudaraan yang di tegakkan oleh Rasulullah s.a.w di antara para sahabatnya dan umat Islam adalah berlandaskan kepada pegangan yang satu.Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah ,persaudaraan Muhajirin dan Ansar iaitu Umat Islam di Mekah dan Madinah antara salah satu bukti persaudaraan ummah pada awal kemunculan Islam.Dengan persaudaraan inilah,umat Islam semakin kuat.Persaudaraan yang berlaku ketika itu amat mengkagumkan .Mereka sanggup dan rela berkongsi segalanya dengan saudara baru mereka.Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 9

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُون عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
َ
Maksudnya:Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) `mencintai` orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

Sebagai contohnya,Sa’ad bin Rabi’ yang telah dipersaudarakan dengan Abdurrahman Bin Auf sanggup berkongsi segala yang di milikinya,bahkan salah seorang dari isterinya diceraikan kemudian diserahkan kepada Abdurrahman bin Auf.Begitulah kekuatan ukhwah antara mereka ketika zaman nabi.

Masyarakat moden hari ini telah hilang perasaan kasih sayang dan semangat persaudaraan sesama makhluk.Mereka lebih suka membawa haluan sendiri bahkan ada segelintir masyrakat yang ingin menjatuhkan saudaranya sendiri.Perkara ini boleh di lihat dalam dunia hiburan yang jauh terpesong dengan nilai –nilai keislaman.Keinginan mencari keburukan orang lain semakin berleluasa sehingga mampu menjatuhkan hubungan kekeluargaan,sahabat dan jiran tetangga.Perbuatan ini di gunakan untuk mencari keuntungan semata-mata, oleh itu, banyak program di televisyen berkaitan gosip di paparkan dan kebanyakkannya menceritakan tentang keburukan orang lain.Segala keaiban ,keburukan saudaranya akan di hebohkan di media-media dan akan dipertontonkan di khalayak ramai.Selain itu isu pembunuhan dan kezaliman ke atas manusia juga semakin meningkat .Pada 5 Januari berlaku pembunuhan 4 orang paling kejam dengan tangan dan kepala yang putus.Pembunuhan ini di lakukan sendiri oleh keluarga mangsa.Perbandingan modal insan zaman nabi dengan zaman moden ini sangat jauh kualitinya.


oleh: Siti Elfika Bt Md Yasri
Exco Penerbitan dan Multimedia

1 comment:

  1. Harrah's Cherokee Casinos - MapyRO
    Cherokee Casinos · 1. 충청남도 출장마사지 Harrah's Cherokee Casino, 청주 출장샵 Cherokee · 2. Harrah's Cherokee 대전광역 출장안마 Casino, 남양주 출장샵 NC · 3. Harrah's Cherokee Casino Resort, 광주 출장샵

    ReplyDelete